SAFAR TOUR WAKAF WILAYAH PERSEKUTUAN 2026 MELABUHKAN TIRAI, TIGA SEKTOR DIBERI PERHATIAN
Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan Siri Kedua melabuhkan tirai hari ini selepas menelusuri tiga sektor utama yang menjadi tumpuan pembangunan wakaf iaitu pendidikan, keagamaan dan kesihatan.
Program yang menghimpunkan barisan kepimpinan, pewakaf korporat dan peserta itu turut disertai Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Tuan Haji Mohammed Hassan; Pengurus Kanan Bahagian Wakaf dan Sumber Am MAIWP, Tuan Haji Ir. Abdul Karim Mohamed; serta Pengarah JAWI, Tuan Haji Haniffudin Roslan.
Safar Tour kali ini membawa para peserta meninjau tiga lokasi projek wakaf, bermula dengan kemudahan smartboard di Sekolah Kebangsaan Danau Kota Dua yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan.
Jelajah diteruskan ke Projek Pembangunan Surau Abbas Al Habshee di PPR Laksamana bagi sektor keagamaan, sebelum berakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerusi projek pembelian peralatan perubatan dan kelengkapan fasiliti bagi menyokong keperluan sektor kesihatan.
Sepanjang perjalanan, para peserta turut disajikan dengan pengisian kerohanian menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Dato’ Ustaz Fauzi Mustaffa dan Ustaz Don Daniyal.
Lawatan ke lokasi projek memberi gambaran jelas mengenai bagaimana dana wakaf dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata, khususnya dalam menyediakan kemudahan pendidikan, memperkukuh prasarana keagamaan serta menyokong keperluan kesihatan masyarakat.
Walaupun Safar Tour 2026 melabuhkan tirai, perjalanan wakaf masih panjang.
Sebanyak 35 projek wakaf dengan keperluan dana berjumlah RM410 juta masih memerlukan sokongan pewakaf bagi merealisasikan pelbagai kemudahan untuk manfaat dan kesejahteraan masyarakat.
Jom teruskan legasi kebaikan melalui wakaf.