Wakaf Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan Program Safar Tour iaitu satu inisiatif baharu bagi memberi pendedahan secara langsung kepada para pewakaf dan rakan strategik korporat untuk menyaksikan sendiri perkembangan projek wakaf berimpak tinggi yang sedang dibangunkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata program berkenaan membawa dimensi baharu dalam menyebarluaskan ibadah wakaf apabila masyarakat dapat melihat secara dekat bagaimana setiap ringgit sumbangan diterjemahkan kepada manfaat yang nyata demi kemajuan ummah.






Menerusi pelancaran siri pertama program Safar Tour, tiga lokasi utama telah menjadi destinasi lawatan peserta iaitu tapak pembangunan Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam MAIWP yang berkonsepkan Kampus Pintar, fasiliti kesihatan Pusat Fisioterapi MAIWP di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah bagi kegunaan golongan asnaf, serta tapak projek pembangunan semula Masjid Al-Mubarakah di Taman Bukit Cheras.
Program berkenaan yang turut dihadiri bersama barisan kepimpinan MAIWP dan PPZ-MAIWP serta seramai 35 peserta terdiri daripada individu serta wakil organisasi korporat, selain menyaksikan simbolik serahan wakaf tunai bernilai RM461,000.






Tambahan sebanyak 34 projek wakaf kini masih memerlukan dana berjumlah RM410 juta dan Wakaf Wilayah Persekutuan menyeru orang ramai serta sektor korporat untuk terus menyumbang menerusi pelbagai saluran digital atau fizikal, di mana setiap penyumbang layak mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus.
Jadi jom Bersama Suburkan Legasi Kebaikan!
Setiap ringgit wakaf anda adalah pelaburan akhirat yang terus mengalirkan pahala dan memberi keselesaan kepada mereka yang memerlukan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi pewakaf yang dapat sebarkan manfaat untuk semua.