Penjenamaan Semula Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan

Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini mengumumkan penjenamaan semula identiti Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan dalam usaha memantapkan peranan PPZ-MAIWP dalam memperluas agenda wakaf di wilayah ini.

Penjenamaan semula ini merupakan satu langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan wakaf sebagai platform utama dalam membangunkan komuniti, meningkatkan ekonomi umat Islam, serta melahirkan lebih banyak inisiatif yang bermanfaat melalui pengembangan dana wakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapannya berkata, penjenamaan semula nama serta identiti wakaf ini merupakan satu langkah strategik dalam memastikan pengurusan wakaf lebih mudah dikenali, miliki fungsi yang jelas serta mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya berharap jenama Wakaf Wilayah Persekutuan ini mampu menjadi satu titik-tolak dalam mengangkat lebih tinggi tradisi wakaf sebagai institusi sosial yang kukuh dan membina keyakinan masyarakat bahawa setiap sen yang mereka telah wakafkan di sini akan diuruskan dengan amanah, berintegriti dan baik,” katanya.

Penjenamaan nama baharu wakaf ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2025 dan merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap usaha PPZ-MAIWP dan MAIWP dalam memodenkan pengurusan wakaf tunai di Malaysia.

Majlis pelancaran penjenamaan semula ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam sebuah majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Setiausaha / Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Mohd Nizam Haji Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Langkah penjenamaan semula ini juga secara tidak langsung penting dalam membantu  memperkukuh naratif bahawa PPZ-MAIWP bukan sekadar bertanggungjawab untuk mengutip zakat, tetapi turut diamanahkan untuk menguruskan kutipan wakaf tunai di Wilayah Persekutuan.

Ia merangkumi pengenalan nama baharu daripada Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan, pelancaran logo berserta warna identiti yang baharu, penukaran portal wakafppz.com.my kepada www.wakafwilayah.com.my, penyeragaman nama di semua platform media sosial, selain pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi.

Untuk rekod, pada 2014, tanggungjawab pengurusan kutipan wakaf tunai di Wilayah Persekutuan telah dipertanggungjawabkan kepada Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh MAIWP.

Namun, bermula Disember 2022, peranan atau tanggungjawab tersebut telah dipindahkan secara rasmi kepada PPZ-MAIWP bagi memperkukuh tadbir urus dan keberkesanan kutipan wakaf tunai di khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sejak diberikan mandat tersebut, 11 projek telah mencapai sasaran kutipan dan ada di antaranya telah siap dibangunkan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan sumbangan wakaf tunai kepada Wakaf Wilayah Persekutuan oleh 12 syarikat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM657,508.31.

Untuk rekod, dari tempoh Januari sehingga November tahun ini, PPZ-MAIWP berjaya mengutip wakaf tunai sebanyak RM7.909 juta daripada 11,121 pewakaf.

Dalam masa yang sama, sehingga kini masih terdapat 35 projek wakaf yang masih memerlukan dana dengan anggaran sebanyak RM413 juta.

Orang ramai boleh turut menyumbang melalui wakaf tunai secara fizikal di semua kaunter PPZ-MAIWP, atau menerusi pelbagai saluran digital termasuk pembayaran atas talian, imbasan kod QR dan kaedah lain yang disediakan.

Setiap pewakaf di PPZ-MAIWP layak menikmati Potongan Cukai Pendapatan sehingga 10% daripada pendapatan agregat di bawah Sub Seksyen 44 (11) D, Akta Cukai Pendapatan 1967.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek dan inisiatif wakaf, sila layari laman sesawang Wakaf Wilayah Persekutuan di www.wakafwilayah.com.my, atau ikuti media sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @wakafwilayah.

POS BERKAITAN

Warkah Cinta RM150,000 Almarhumah Zuraidah Buat Rumah Allah

“Jasad sudah dijemput pulang, namun ‘suara’ sedekahnya baru sahaja bermula. Bagaimana seorang wanita membuktikan bahawa...

Wakaf Sebagai Dana Jaminan Selepas Mati.

Konsep persaraan bukan sahaja di dunia. Kita semua perlu menyediakan ‘dana jaminan’ untuk kehidupan yang...

Melabur dengan mudah, menuai hasilnya selamanya. 

Kami faham, hidup ini sibuk. Kadang-kadang, niat untuk menyumbang terlewat apabila gaji sudah dibelanjakan. Skim...