Dari Sejadah Di Atas Tar Ke Bangunan Gah!!

Selama bertahun-tahun, setiap kali azan Jumaat berkumandang di celah kesibukan Brickfields, ada satu pemandangan yang menyentuh hati. Ratusan jemaah terpaksa membentang sejadah di atas jalan tar yang membahang, bersujud di bawah terik matahari atau gerimis hujan kerana ruang Madrasathul Gouthiyyah yang terlalu terhad.

Hari ini, pemandangan itu mula berubah. Satu sejarah baru telah tercipta.

Simbol Keharmonian Di Jantung Kota

Majlis Perasmian Bangunan Fasa 1 Madrasathul Gouthiyyah baru-baru ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kehadiran beliau bukan sekadar merasmikan sebuah bangunan, tetapi membawa mesej besar tentang toleransi beragama dan keselamatan rumah ibadat.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa keamanan dan keselamatan setiap rumah ibadat adalah asas kepada keharmonian Malaysia. Brickfields, sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian, kini memiliki sebuah lagi mercu tanda yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat, malah sebagai simbol perpaduan.

Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA),Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki,Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP,Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Walaupun kita menarik nafas lega melihat jemaah kini sudah boleh berteduh dengan selesa di bawah bumbung bangunan Fasa 1, hakikatnya perjuangan kita baru sampai ke separuh jalan.

Bangunan yang berdiri tegak hari ini adalah bukti keajaiban wakaf anda. Namun, Madrasathul Gouthiyyah masih lagi sesak. Kita tidak mahu pembangunan ini terhenti di sini sahaja.

“Kita masih memerlukan RM4.1 Juta lagi untuk menyiapkan pembinaan Fasa 2.”

Tanpa fasa kedua ini, impian untuk melihat sebuah pusat komuniti dan tempat ibadat yang benar-benar lengkap untuk generasi akan datang mungkin tidak tercapai.

Jom Sempurnakan Madrasathul Gouthiyyah!
Kami menjemput anda semua untuk bersama-sama menyumbang dalam misi melengkapkan baki RM4.1 juta ini.

Mari kita buktikan bahawa keharmonian negara ini bukan sekadar kata-kata, tetapi dibina dengan kasih sayang dan kedermawanan kita semua.

POS BERKAITAN

Warkah Cinta RM150,000 Almarhumah Zuraidah Buat Rumah Allah

“Jasad sudah dijemput pulang, namun ‘suara’ sedekahnya baru sahaja bermula. Bagaimana seorang wanita membuktikan bahawa...

Penjenamaan Semula Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan

Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini mengumumkan penjenamaan semula...

Wakaf Sebagai Dana Jaminan Selepas Mati.

Konsep persaraan bukan sahaja di dunia. Kita semua perlu menyediakan ‘dana jaminan’ untuk kehidupan yang...