Seperti yang kita sedia maklum, kawasan Segambut Dalam kini semakin pesat membangun. Pertambahan penduduk turut meningkatkan permintaan terhadap pendidikan agama. SRA Al-Bukhari juga semakin sesak apabila semakin ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan dan pengajian Al-Quran di sini.
Keadaan ini semakin mendesak kerana ruang kelas sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah. Anak-anak kita memerlukan ruang pembelajaran tambahan yang lebih luas, selesa dan kondusif.



MAIWP prihatin dan mengambil tindakan segera.
Sekiranya kita menunggu sehingga dana wakaf terkumpul sepenuhnya, terdapat risiko tanah kosong bersebelahan sekolah, iaitu Lot 57504, terlepas kepada pihak lain. Tambahan pula, nilai hartanah di Kuala Lumpur semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab untuk memastikan masa depan pendidikan anak-anak terjamin, MAIWP telah mendahulukan dana bagi membeli tanah tersebut. Langkah ini diambil bagi memastikan tanah berkenaan kekal untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan Islam.
Alhamdulillah, tanah tersebut kini telah berjaya diperoleh.
Kini, melalui Wakaf Wilayah Persekutuan, kami membuka peluang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha ini melalui wakaf tunai. Sumbangan wakaf yang dikumpulkan akan digunakan untuk mengambil alih kos pembelian tanah tersebut dan seterusnya menjadikannya tanah wakaf kekal untuk kegunaan SRA Al-Bukhari.
Apabila dana wakaf berjaya menggantikan dana yang telah didahulukan oleh MAIWP, dana tersebut pula boleh dimanfaatkan semula untuk membantu golongan asnaf serta membiayai projek-projek kebajikan dan pembangunan umat Islam yang lain. Bayangkan, di atas tanah yang kita wakafkan inilah suatu hari nanti akan berdiri kelas-kelas baharu untuk anak-anak menuntut ilmu.
Di situlah mereka belajar mengenal alif, ba, ta, membaca al-Quran, mempelajari ilmu agama dan mendirikan solat. Selagi ilmu itu dipelajari, selagi al-Quran dibaca dan selagi anak-anak beribadah di atas tanah tersebut, insya-Allah pahala wakaf akan terus mengalir sebagai amal jariah.